Bagi mengambil berkat hari Jumaat yang mulia ini, disini saya ingin berkongsi  tentang Solat Jumaat. Semoga mendapat pengetahuan yang baru dan mengingatkan kembali apa yang telah dilupai.
Solat Jumaat ialah solat fardu  (dua rakaat) yang dilakukan    pada hari Jumaat menggantikan solat  Zohor, dan ianya dilakukan secara berjemaah    selepas mendengar  khutbah. Solat Jumaat itu hukumnya 
Fardhu Ain, iaitu wajib    dikerjakan  atas setiap mukallaf dengan syarat-syarat tertentu. 
Firman Allah:
 "Wahai orang-orang  yang beriman! Apabila diserukan azan    untuk mengerjakan solat pada  hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid    untuk mengingati  Allah [dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah berjual     beli [pada saat itu]; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu  mengetahui    [hakikat yang sebenarnya]," - Al-Jumu'ah: 9
 Sabda Rasulullah SAW:
 "Solat  Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap    orang Islam dengan  berjemaah, kecuali empat jenis manusia: hamba sahaya yang    dimiliki,  perempuan, anak-anak, dan orang yang sakit." - Riwayat Abu Dawud     & Hakim.
 
  Syarat wajib solat Jumaat:
  1. Islam - tidak wajib bagi orang kafir.
  2.  Baligh - tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh.
  3.  Berakal - tidak wajib bagi orang yang gila.
  4. Merdeka - tidak  wajib ke atas hamba abdi.
  5. Lelaki - tidak diwajibkan untuk orang  perempuan.
  6. Sihat - tidak wajib bagi orang yang uzur dan  berhalangan.
  7. Bermastautin atau bermukim - tidak wajib bagi  orang yang musafir.
 
  Syarat sah solat  Jumaat:
 1. Didirikan di dalam waktu Zuhur.
   2. Tempat mendirikan solat Jumaat itu hendaklah di suatu tempat yang  telah ditetapkan    seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.
   3. Mestilah berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang yang tinggal  tetap    di kawasan itu.
  4. Didahului dengan dua khutbah.
 
  Rukun-rukun khutbah Jumaat:
 1. Khutbah dimulai dengan memberi pujian pada Allah SWT  seperti    ucapan: "Allahamdulillah".
  2. Diikuti dengan salawat ke  atas Nabi Muhammad SAW: "Allahuma salli ala    Saidina Muhammad waala  ali Saidina Muhammad."
  3. Khutbah hendaklah mengandungi pesanan  kepada para jamaah agar bertaqwa kepada    Allah SWT seperti:  "bertaqwalah kamu kepada Allah."
  4. Membaca satu ayat Quran pada  khutbah yang pertama atau kedua, tapi paling    elok pada khutbah yang  pertama.
  5. Mendoakan setiap Muslim pada khutbah yang kedua  sekurang-kurangnya: "Rahima-kumullah."
 
   Syarat sah Khutbah Jumaat:
 1. Pembaca khutbah  hendaklah seorang lelaki, tidak sah jika    orang perempuan.
  2.  Pembaca khutbah hendaklah menutup aurat.
  3. Suci daripada hadas  dan najis pada pakaian, badan dan tempat.
  4. Berdiri pada  kedua-dua khutbah itu pada yang mampu.
  5. Membaca khutbah setelah  masuk waktu Zuhur dan dilakukan sebelum solat Jumaat.
  6. Membaca  rukun-rukun khutbah di dalam bahasa Arab, tidak boleh di baca dalam     bahasa ibunda seperti membaca salawat Nabi dalam bahasa Melayu.
  7.  Mualat antara khutbah yang pertama dengan khutbah yang kedua, antara  segala    rukunnya dan antara khutbah dengan solat.
  8. Duduk  sebentar setelah selesai khutbah pertama sebelum memulakan khutbah     kedua. Jikalau pembaca berkhutbah dalam keadaan duduk, maka pisahkan di  antara    dua khutbah itu dengan diam sebentar.
  9. Khutbah  didengar oleh 40 orang yang bermukim sekalipun tidak memahami bahasa     yang digunakan untuk menyampaikan khutbah.
  10. Mencukupi bilangan  40 orang dari mula khutbah hingga akhir solat.
 
   Seorang Muslim yang mengalami salah satu perkara di bawah ini adalah  dikecualikan    dari menunaikan solat Jumaat, mereka hanya perlu solat  Zohor seperti biasa:
 1. Sakit - Iaitu sakit yang  menyukarkan untuk ke masjid atau    bimbang akan memudaratan  penyakitnya.
  2. Hujan - Jika hujan itu membawa kesukaran untuk  pergi ke masjid.
  3. Musafir - Iaitu orang yang keluar sebelum  subuh untuk bermusafir.
  4. Takut dizalimi - Orang yang bersembunyi  kerana takut di zalimi.
 Perkara-perkara sunat  yang dilakukan pada hari Jumaat:
 1. Mandi sunat  hari Jumaat, terutama ketika hendak berangkat    ke Masjid.
  2.  Memotong kuku.
  3. Memotong, mencabut atau mengunting bulu [ketiak,  hidung, misai].
  4. Bersugi.
  5. Memakai wangi-wangian.
   6. Berhias diri dengan memakai pakaian yang bersih dan cantik.
  7.  Bersegera pergi ke masjid.
  8. Berniat iktikaf.
  9. Solat  Tahiyatul Masjid sebaik sahaja masuk ke dalam masjid.
  10.  Memperbanyakkan berzikir, membaca Al Quran dan bersalawat atas Nabi.